JERUDONG, Sabtu, 1 April. – Malam Tayangan Filem Jerudong Park menarik lebih 200 penonton yang mengunjungi Jerudong Park Garden di sini.
Dengan hanya bayaran BND 2, para pengunjung boleh menonton dua filem bermula jam 8.00 malam sehingga 11.30 malam.
Tayangan filem merupakan filem animasi mesra keluarga berjodol ‘Storks’ diikuti filem aksi komedi yang dibintangi oleh Jackie Chan iaitu bertajuk ‘Skiptrace’.
Orang ramai juga digalakkan untuk membawa keperluan peralatan yang bersesuaian bagi keselesaan masing-masing semasa menonton tayangan filem berkenaan.
Di samping itu, pelbagai jualan makanan dan minuman juga disediakan seperti Blackball, Real Halo-Halo & Pizza, Tummy Yummy, Simplicious dan sebagainya.
Juga dianjurkan pada acara itu ialah  pertandingan mewarna bagi memenangi hadiah bernilai BND 60 yang dibukakan kepada tiga kategori iaitu 6 hingga 9 tahun, 10 hingga 12 tahun dan 13 tahun ke atas.

 

Tayangan Filem JP tarik ramai pengunjung